Total Pageviews

Tuesday, January 25, 2011

kenalkah kita dengan anak2 kita.....



Kebanyakan ibu bapa berpendapat bahawa mereka mengenali anak mereka lebih dari orang lain. Malangnya terdapat ibu bapa dan penjaga yang tidak tahu langsung tentang perkembangan dan sikap anak-anak mereka sehingga perkara ini diberitahu kepada mereka oleh orang lain. Walaupun begitu masih ada ibubapa atau penjaga yang masih berpendapat bahawa mereka lah yang paling memahami isi hati dan kelakuan anak-anak mereka kerana ibu bapa atau penjagalah yang yang lebih lama bersama anak-anak mereka semenjak dilahirkan.
 
Mengenali anak semata-mata kerana mereka di bawah pemerhatian anda adalah tidak mencukupi kerana banyak lagi perihal anak yang tidak dapat dihayati setakat memerhatikan mereka semasa mereka berada di rumah.
Ada pula ibu bapa yang mengenali anak mengikut apa yang mereka mahu tentang sifat dan sikap anak tetapi bukan mengikut apakah sebenarnya sifat dan sikap anak.  Ibubapa begini lebih merupakan ibubapa yang mempunyai masalah peribadi sehingga menolak kenyataan sebenar perihal anak.
Bagi kanak-kanak yang sudah ke sekolah, masa mereka banyak dihabiskan di sekolah atau di luar rumah. Dengan itu mereka tidak banyak bersama dengan ibubapa sehingga menyebabkan sukar bagi ibu bapa untuk memahami anak mereka secara terperinci.
Untuk membantu ibubapa dalam hal ini soalan yang disenaraikan di bawah ini boleh digunakan sebagai panduan untuk mengetahui sama ada ibubapa benar-benar tahu dan kenal dengan anak mereka.
Soalannya:
1. Apakah warna kegemaran anak anda?
2. Siapakah kawan baik anak anda?
3. Siapakah ‘wira’ atau ‘hero’ kesayangan anak anda?
4. Apakah yang boleh memalukan anak anda?
5. Apakah yang sangat ditakuti anak anda?
6. Apakah jenis sukan kegemaran anak anda?
7. Apakah musik kegemaran anak anda?
8. Selain dari ahli keluarga anda siapakah yang banyak mempengaruhi anak anda?
9. Apakah matapelajaran di sekolah yang menjadi kegemaran anak anda dan apakah yang paling tidak digemarinya?
10. Apakah kejayaan anak anda yang sangat dibanggakan oleh anak anda?
11. Apakah mengenai diri anak anda yang dia tidak mahu orang lain mengetahuinya?
12. Apakah rancangan TV yang paling anak anda gemari?
13. Apakah yang anak anda suka buat semasa berada di kedai permainan?
14. Sekiranya anak anda dibenarkan mendapat apa yang diingini, apakah yang dia pilih?
15. Apa sebenarnya yang boleh membuat anak anda merasa marah?
16. Adakah anak anda disukai oleh kawan-kawannya di sekolah?
17. Apakah cita-cita anak anda?
18. Apakah yang telah menghampakan diri anak anda dalam tahun ini dan juga tahun lepas?
19. Adakah anak anda fikir dia terlalu tinggi atau terlalu rendah mengikut umurnya?
20. Apakah benda yang boleh anda berikan kepada anak anda yang akan disayanginya dan disimpan sentiasa?
21. Bagaimana cara bercuti yang menjadi pilihan anak anda?
22. Kerja rumah yang bagaimanakah yang tidak disukai langsung oleh anak anda?
23. Apakah buku (selain buku sekolah) terbaru yang dibaca oleh anak anda?
24. Apakah suasana dan peristiwa dalam keluarga yang menjadi kesukaan anak anda?
25. Apakah makanan kegemaran anak anda dan apakah pula yang tidak digemarinya?
26. Apakah nama panggilan atau nama samaran yang diberi oleh kawan-kawan anak anda kepadanya di sekolah?
27. Di antara barang-barang kepunyaan anak anda, apakah yang paling sukainya?
28. Bilakah masa anak-anak anda suka membuat kerja sekolah?
29. Apakah jenis binatang peliharaan yang anak anda ingin miliki?
30. Siapakah guru kesayangan anak anda?

Perhitungan:
Beri satu markah bagi setiap soalan yang boleh anda jawab dengan betul. Semak dengan anak anda bagi memastikan jawapan anda adalah betul. Sekiranya anda memperolehi markah di antara:
 
25 hingga 30 anda adalah ibu bapa yang benar-benar mengetahui jiwa anak anda.
14 hingga 24 anda hanya tahu seperkara dua sahaja tentang anak anda walaupun anda masih boleh memperbaiki pengetahuan anda tentang anak anda.
13 markah kebawah, ini menandakan bahawa anda sudah lama tidak memperdulikan hal di antara satu sama lain.
Tetapi sekiranya anda memperolehi markah rendah dari soalan-soalan di atas dan sekarang sudah merasa bimbang, anda perlu tukarkan perasaan bimbang anda dengan memikirkan cara-cara yang perlu dibuat untuk memperbaiki sistem perhubungan di antara anda dan anak anda.
Extracted from: memahami jiwa kanak2.bmp
Dr Kasmini Kassim (1993),
Memahami Jiwa Kanak-kanak (2).
Kafarina Holding Sdn Bhd, Selangor






No comments:

Post a Comment