Total Pageviews

Saturday, January 22, 2011

KESILAPAN DALAM MENDIDIK ANAK***“Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah
menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar.” (Al-Quran Surah
At-Taghabun, 64:15) 
Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian
ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba- Nya. Sebagai ujian, ianya akan
dipertanggungjawabkan.
Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya
tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. 
Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : “Tahukah engkau siapakah orang
yang mandul?” Berkata para sahabat : “Orang yang mandul ialah orang yang
tidak mempunyai anak.” Lalu Rasulullah SAW berkata : “Orang yang mandul itu
ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi
kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia.”-(Maksud Al-Hadith ) 
Ini mungkin disebabkan beberapa kesilapan dalam mendidik anak-anak. 
1. Kurang berdoa.
Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan
semasa mengandung ialah:
• Saidul (penghulu) Istighfar,
• Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 8-9),
• Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 38)
• Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41) 
Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan
semasa anak membesar ialah:
• Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2
:128),
• Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74)
• Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya. 
2. Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau
motivasi) seperti:
• Menakutkan anak-anak dengan sekolah
• Menakutkan dengan tempat gelap
• Menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau
• Menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur 
3. Tidak tegas dalam mendidik anak-anak.
Tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak dan terlalu memfokuskan
anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan
mereka. 
4. Menegur anak secara negatif.
Mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama
semasa marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang
lain. 
5. Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani
(spiritual) dan minda (intelektual). Ramai yang lebih mementingkan
pendidikan minda dari pendidikan rohani. 
6. Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak. Sedangkan Rasulullah
kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. 
Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium
Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy
sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’ : “Ya Rasulullah! Aku
mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun
dari mereka.” Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata : “Siapa yang
tidak mengasihi tidak akan dikasihi.”-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan
Muslim) 
7. Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas. Ibu bapa tidak
menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak
bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi
di hadapan anak-anak. 
8. Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak
terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh. 
9. Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan bersama,
solat berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab
salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang
diberi. 
10. Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak.
Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah. 
11. Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para
ulama’ dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak
juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan
aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam. 
12. Bertengkar di depan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa
tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya. 
13. Membenarkan orang yang tidak elok sahsiahnya masuk ke dalam rumah kita,
baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini
akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar. 
14. Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV
ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan
rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti
pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan
perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak. 
15. Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak.
Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak
ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan
anak-anak terdidik dengan didikan Islam. 

kredit: ustazmelaka.net

No comments:

Post a Comment