Total Pageviews

Sunday, January 23, 2011

Bagaimana Bertawakkal Dalam Ibadah?

Bila kita sebut mengenai tawakal, pasti kita akan terbayangkan musibah dan
ujian. Begitu juga tawakal dalam urusan keduniaan seperti mencari rezeki,
menghadapi peperiksaan dan sebagainya. Saya juga berfikiran sebegitu sebelum
ini sehinggalah saya membaca satu tulisan Ibn Taimiyah rahimahullah 
Dalam Majmu' al-Fataawa yang menyebut bahawa mereka yang menyangka bahawa
tawakal itu hanyalah untuk menuntut bahagian keduniaan adalah satu sangkaan
yang salah! 
Bahkan tawakal dalam urusan ibadah adalah lebih utama [Lihat : Majmu'
al-Fataawa, jilid 5, bahagian 10, hlmn. 16]. Lepas membaca tulisan beliau,
saya terfikir-fikir bagaimana nak memahamkan apa yang dimaksudkan dengan
tawakal dalam urusan ibadah. 
Alhamdulillah, dengan petunjuk dari Allah, akhirnya saya memahami maksud
statement tersebut apabila membaca apa yang ditulis oleh Ibn Rajab
rahimahullah dalam Jami' al-'Ulum wa al-Hikam mengenai tawakal. 
Apabila kita melakukan satu ketaatan kepada Allah, tidak kiralah samada
solat, puasa, zikir, membaca al-Quran, haji, umrah dan sebagainya, kita
sering mengharapkan pahala daripada Allah atas amalan kita.  Kita
bertungkus-lumus melakukan ketaatan kerana inginkan syurga. Tetapi
kadang-kadang kita terlupa untuk bertawakal kepada Allah; iaitu kita lupa
untuk menyerahkan urusan ibadah kita kepada Allah. 
Kita merasakan bahawa ibadah kita semata-mata mampu membawa kita ke syurga,
sedangkan kita tidak sedar bahawa melaksanakan ibadah itu adalah satu sebab
untuk kita masuk ke syurga dan selamat dari api neraka. Tetapi Allah jualah
penentu segalanya! 
Tetapi ini tidaklah pula bermakna kita bersahaja dalam melakukan ibadah dan
mengharapkan rahmat Allah semata-mata. Ambillah sebab (ibadah) dan
bersungguh-sungguhlah kerana ia merupakan satu kewajipan yang diperintahkah
oleh Allah. 
Disebut dalam satu hadis : 
*'Orang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa berusaha (supaya menjadi
seorang yang taat dan patuh) dan beramal untuk apa yang akan berlaku selepas
mati manakala orang yang malas (berusaha) pula ialah orang yang mengikut
hawa nafsunya dan berharap agar Allah akan mengampunkannya"* 
[Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah, al-Baihaqi, al-Tabarani dan
al-Hakim] 
Al-Tirmizi berkata hadis ini hasan. Al-Hakim : Hadis ini sahih atas syarat
al-Bukhari tetapi al-Zahabi mengatakan bahawa hadis ini bukan atas syarat
al-Bukhari, dan Abu Bakar (salah seorang perawi hadis) adalah waahiin] 
Sama juga apabila kita sakit. Kita berusaha mencari ubat untuk mengubati
sakit kita, sedangkan ubat hanya sebab. Allah jualah penyembuh setiap sakit. 
Allah Ta'ala berfirman dalam Surah Hud ayat 123 yang bermaksud : 
*"Oleh itu, sembahlah Dia serta berserahlah kepadaNya."* 
Nabi shallallahu 'alayhi wa sallam juga ada bersabda : ' 
*Sesungguhnya amalan seseorang itu tidak akan dapat menyelamatkannya',
mereka (para sahabat) berkata : Walaupun tuan wahai Rasulullah? Baginda
shallallahu 'alayhi wa sallam menjawab : 'Walaupun aku, kecuali mereka yang
mendapat rahmat dari Allah...'* 
[Diriwayatkan oleh al-Bukhari (6098) dan Muslim 2816)]. 
Laksanakanlah ibadah dengan bersungguh-sungguh dan bertawakallah kepada
Allah sepenuh jiwa. Semoga Allah mengurniakan Syurga buat kita semua.

No comments:

Post a Comment